Impak e-dagang kepada ekonomi serantau
Ekonomi merupakan aset yang penting bagi sesebuah negara. Perkembangan ekonomi yang pesat memberi kesan yang mendalam terutamanya bagi negara yang sedang membangun. Maka, tidak hairanlah e-dagang turut menjadi penjana ekonomi yang penting di Malaysia.
Seperti yang diketahui, Malaysia merupakan salah sebuah daripada 20 negara perdagangan yang terbesar di dunia. Maka, dengan adanya kemudahan e-dagang, perdagangan dapat mengurangkan kos operasi, menjimatkan masa urusniaga dan penghantaran serta meluaskan jaringan strategik antara pedagang.
Dari sudut ekonomi pula, pengguna e-dagang di Malaysia dijangka meningkat sehingga 30 peratus pada setiap tahun dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun akan datang. Manakala, penggunaan e-dagang di seluruh dunia yang dijangka meningkat 32 peratus membabitkan transaksi RM92.4 bilion tahun 2010 berbanding RM67 bilion pada 2009.
Ini menunjukkan masyarakat kita semakin boleh menerima perubahan teknologi semasa dan berani mencuba untuk menggunakan teknologi.
Kewujudan sistem ekonomi e-dagang ini sedikit sebanyak memberi impak secara serius kepada penggunaan wang kertas serta cek pada masa-masa yang akan datang. Hal ini kerana pembayaran dalam bentuk baru ini ternyata lebih murah dan mudah jika ingin dibandingkan dengan pembayaran yang dibuat secara konvensional dan sekaligus akan mengurangkan keperluan kepada pengaliran wang tunai dan secara tidak langsung mengurangkan fungsi yang dimainkan oleh Bank Pusat.
Berdasarkan satu kajian yang telah dibuat, mata wang tunai mengalami penurunan yang mendadak dari segi penggunaannya. Hal ini berpunca setelah wujudnya sistem cara pembayaran baru seperti menggunakan kad kredit dan kad debit di dalam e-dagang. Contohnya:
- Di Jerman, perbelanjaan keseluruhan pada tahun 1990 adalah sebanyak DM 4,825 Billion dan dari jumlah itu hanya 4% sahaja wang tunai digunakan (Andress Furche, Graham Wrightson, t.t : 80-81)
- Di Malaysia pula, perkembangan e-dagang adalah amat memberangsangkan pada ketika ini walaupun ia masih baru dengan mencatatkan pertumbuhan kira-kira 100 peratus setiap tahun (Utusan Malaysia, 25/5/01). Aktiviti e-dagang di Malaysia juga dijangka berkembang dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 90 peratus sehingga 2005 dengan mencatatkan jumlah pasaran bernilai RM35.72 bilion (Utusan Malaysia, 25/5/01).
Transaksi e-dagang yang dijalankan ini sebenarnya membuka peluang ekonomi yang luas kepada para peniaga bagi menjalankan perniagaan mereka agar lebih berkembang dan meluas. Bagi para pelanggan pula, e-dagang merupakan jalan penyelesaian atau cara yang mudah untuk mereka mendapatkan produk yang dingini dengan lebih cepat dan efektif.



